BAGAN SERAI – Seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) maut manakala rakannya parah selepas kereta yang dinaiki mereka melanggar sebuah lori ayam di Kilometer 179, Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan berhampiran dengan hentian rehat Alor Pongsu petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.05 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Aiman Maznan,26, manakala Muhammad Faris Shohaimi cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala ke arah Kuala Lumpur.
Menurut beliau, setibanya di lokasi kejadian kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya.
“Kereta tersebut kemudiannya terbabas ke lorong kiri sebelum melanggar bahagian belakang kiri sebuah lori ayam.
“Akibat pelanggaran itu, Muhammad Aiman mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian. Rakannya turut cedera parah manakala pemandu lori yang berusia 55 tahun itu pula mendapat kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mazuki, kesemua mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan dan bedah siasat.-K! ONLINE