IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia di hospital selepas lebih sejam bertarung nyawa setelah dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama keluarganya di Sungai Ulu Piah di Tambun dekat sini hari ini.
Mangsa, Izz Auf Ghazali, 4, disahkan meninggal dunia pada pukul 12.55 tengah hari ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa datang ke lokasi itu pada pukul 10 pagi untuk berkelah bersama nenek, bapa saudara dan dua abangnya.
Katanya, semasa sedang mandi, mangsa dikatakan menjerit meminta tolong dan bapa saudaranya cuba menyelamatkan kanak-kanak itu namun gagal dan dia dihanyutkan arus deras sebelum hilang daripada pandangan.
“Bapa saudara mangsa telah meminta pertolongan penduduk dan orang awam yang berada di situ. Seorang lelaki yang kebetulan sedang berbasikal di lokasi kejadian telah menjumpai mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.
“Mangsa yang tidak sedarkan diri itu telah dibawa naik ke tebing sungai dan segera dihantar ke HRPB oleh pihak ambulans untuk rawatan,” katanya.
Menurut beliau, mangsa telah diberikan bantuan pernafasan namun disahkan meninggal dunia semasa rawatan.-K! ONLINE