fbpx

Jakim, Jawi kebumi 296 jenazah Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19. - Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memaklumkan sudah menyempurnakan sebanyak 296 jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

Angka tersebut diperoleh menerusi Laporan Pengurusan Jenazah Covid-19 Jakim dan Jawi yang dikongsi Jawi menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Jumlah itu membabitkan pengebumian jenazah yang dikaitkan dengan Covid-19 khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan setakat semalam, pihaknya menguruskan 185 membabitkan jenazah lelaki dan 111 adalah jenazah wanita.

Menurut Jawi, jenazah berusia 61 hingga 88 tahun paling ramai diuruskan iaitu 144 jenazah diikuti 41 hingga 60 tahun (82 jenazah).

“Selain itu, bagi usia 81 hingga 100 tahun (28 jenazah), 21 hingga 40 tahun (38 jenazah) dan bawah usia 20 tahun (lima jenazah).

“Lokasi paling ramai meninggal dunia adalah di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan 149 jenazah,” katanya.

Katanya, kesemua jenazah itu diuruskan dan dikebumikan oleh 51 petugas lelaki dan 19 petugas wanita.

Jawi berkata, tugasan itu dilakukan sebagai tanggungjawab fardu kifayah ke atas saudara seagama.

“Sejak pasukan kami menguruskan jenazah yang dikaitkan dengan Covid-19 khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan lebih setahun yang lalu, angka tersebut kian bertambah saban waktu tanpa mengira usia.

“Semoga kita semua tidak alpa mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, kebanyakan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah di bawah seliaan Jawi.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI