GAZA – Jet-jet pejuang Israel membedil Genting Gaza sepanjang malam dalam serangan udara yang membunuh 10 anggota sebuah keluarga setakat awal pagi ini, kata pasukan perubatan.
Serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas rusuhan yang menggegarkan Tebing Barat dan ketibaan utusan dari Amerika Syarikat (AS) untuk rundingan damai.
Setiausaha AS untuk Hal Ehwan Israel-Palestin, Hady Amr dijadualkan bertemu pemimpin Israel di Baitulmuqaddis hari ini sebelum menuju ke Tebing Barat bagi berbincang dengan pegawai-pegawai Palestin.
“Tujuan pertemuan diadakan adalah untuk menggalakkan ‘situasi tenang’ yang berterusan,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Jalina Porter.
Washington sebelum ini dikritik kerana tidak berusaha untuk menghentikan ketegangan antara Palestin dan Israel selepas ia menghalang mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadualkan berlangsung semalam.
Meskipun usaha diplomatik dipertingkatkan untuk meredakan serangan lima hari antara Israel dan pejuang Palestin di Gaza, tentera udara Israel terus menyerang beberapa lokasi semalam, dan dalam masa sama, roket turut dilancarkan ke arah Israel.
Sementara itu, jumlah kematian di Palestin setakat ini meningkat kepada 130 orang dengan lebih 30 mangsa terdiri daripada kanak-kanak, manakala kira-kira 950 yang lain cedera.
Sementara itu, Mesir membuka sempadan Rafah-Gaza hari ini bagi membolehkan 10 buah ambulans membawa penduduk Palestin yang cedera mendapatkan rawatan di beberapa hospital di negara itu, kata pegawai perubatan.
Kira-kira 1,000 penduduk Palestin meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari perlindungan berikutan kebimbangan serangan berterusan oleh Rejim Zionis.
“Mereka berlindung di sekolah, masjid dan beberapa lokasi lain ketika pandemik Covid-19 dengan akses kepada air, makanan, kebersihan dan perkhidmatan kesihatan terhad,” ujar Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Lynn Hastings. – AFP