fbpx

“Haziq beritahu semua baik, kesihatan pun bagus” – Bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli keluarga menyiram air mawar di pusara Allahyarham Haziq yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Koperasi Serkam Darat, Melaka, hari ini.

JASIN – Keluarga pemanah kebangsaan, Allahyarham Haziq Kamaruddin, 28, mengakui masih terkejut dengan pemergian atlet tersebut selepas dikatakan sihat dan langsung tidak menunjukkan sebarang kemerosotan tahap kesihatan.

Bapanya, Kamaruddin Yusof, 58, berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya itu adalah melalui panggilan video pada 1 Syawal lalu.

“Semasa panggilan video, dia (Haziq) beritahu semua baik, semua bagus. Kesihatan dia pun bagus.

“Kami memang dah lama tidak berjumpa. Sebab tidak boleh keluar daerah, mahupun rentas negeri disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)”, katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat di sini, hari ini.

Tambahnya, difahamkan Allahyarham juga tidak pernah mengadu sakit kepada sesiapa dan kelihatan sihat seperti biasa.

“Memang kami masih terkejut. Saya pun tak sangkalah boleh jadi macam ini secara tiba-tiba.

“Walau apapun, saya ucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN), pihak polis dan Hospital Kajang, Selangor yang banyak membantu menguruskan jenazah sehingga dapat dikebumikan dengan selamat,” katanya.

Tambahnya, Allahyarham sememangnya seorang anak yang baik dan telah menunjukkan minat dengan sukan memanah sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Haziq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat, kampung halaman isterinya, di sini kira-kira pukul 1.40 pagi tadi.

Turut berada di perkuburan adalah isterinya, Shahira Abdul Halim; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan.

Jenazah telah disembahyangkan di surau Al-Taqwa di kampung berkenaan yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Arena sukan Malaysia semalam dikejutkan dengan pemergian Haziq yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.37 pagi sejurus dikejarkan ke Hospital Kajang.

Ketiadaan Haziq merupakan kehilangan besar buat negara selepas arwah menjadi taruhan dalam persiapan untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo bersama beberapa atlet memanah yang berpotensi ke temasya itu.

Allahyarham pernah beraksi pada Sukan Olimpik London (2012) dan Rio de Janeiro, Brazil (2016).-K!ONLINE!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN