fbpx

Dua tahun beraya di alam maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Isteri dan dua anak Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh yang bergambar sempena Aidilfitri.

JOHOR BAHRU – Seorang rakyat Malaysia yang ‘terkandas’ di Singapura meluahkan perasaan sedih kerana sudah dua tahun tidak dapat menyambut kedatangan Aidilfitri bersama keluarga yang berada di negara ini.

Shahruddin Haeal Helmy Mohd. Noh, 35, memberitahu, dia terpaksa menetap di republik itu buat waktu ini agar dapat terus bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarganya.

Katanya, adakalanya dia dan rakan-rakan senegara yang lain berasa seperti putus harapan khususnya apabila mengharapkan sempadan negara dapat dibuka dalam waktu terdekat.

“Bagi kami yang terkandas di sini memang realistik, kami sudah tahu yang kes Covid-19 menyebabkan tambak tidak akan buka dalam waktu terdekat.

“Setiap kali berita pertemuan pemimpin Singapura dan Malaysia, kami memang berharap tambak dibuka tapi kadangkala tak mampu berharap lagi.

“Jadi apa yang dapat kami buat ketika ini hanya berdoa sahaja agar ada keajaiban berlaku dan kami dapat segera pulang untuk bertemu keluarga,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Shahruddin Haeal Helmy merupakan antara ribuan rakyat negara ini yang kekal berada di Singapura untuk meneruskan pekerjaan mereka dalam keadaan tidak dapat pulang sejak sempadan negara ditutup pada 18 Mac 2020.

Katanya lagi, dia telah memesan isterinya untuk membelikan sepersalinan baju Melayu sejak tahun lalu lagi dengan harapan dapat menyambut ketibaan Syawal bersama.

“Saya pesan pada isteri supaya beli baju yang sepasang warnanya dengan anak-anak tetapi dari tahun lepas sampai sekarang saya belum dapat pakai baju tu.

“Isteri hanya gantung di dalam almari dan mereka bergambar dengan anak-anak pakai baju mereka.

“Perasaan memang sedih bila tak dapat beraya dengan isteri, anak-anak dan mak. Dua tahun terkandas di sini, raya pun dalam alam maya sebagai pengubat rindu,” katanya yang memiliki dua orang cahaya mata.

Tambahnya lagi, dia membuat keputusan untuk kekal bekerja di Singapura buat ketika ini adalah kerana kos yang terlalu tinggi untuk pulang ke Malaysia.

“Ini belum mengambil kira cuti tanpa gaji yang perlu diambil sepanjang tempoh 35 hari kuarantin dan cuti yang diambil ketika di Malaysia.

“Kalau balik ke Malaysia sekarang pun sukar, lebih-lebih lagi untuk mendapat kerja dan gaji yang saya dapat sekarang,” ujarnya lagi.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI