SEBERANG PERAI – Polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) mengesan individu yang masih berdegil melakukan rentas daerah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melakukan ziarah hari raya ketika menahan lima individu semalam.
Individu berusia 20-an terbabit ditahan secara berasingan di tiga lokasi di daerah berkenaan ketika cuba melakukan rentas daerah tanpa kebenaran.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, berkata kelima-lima mereka masing-masing dikompaun RM5,000 kerana kesalahan tersebut.
“Terdapat dalam kalangan mereka memberi alasan hendak pergi beraya, sedangkan aktiviti kunjung-mengunjung tidak dibenarkan ketika ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelasnya, sepanjang operasi sejak hari raya pertama, pihaknya mengeluarkan 25 kompaun atas pelbagai kesalahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Kompaun RM1,500 dikeluarkan kepada empat lelaki berusia 35 hingga 43 tahun yang duduk melepak tanpa memakai pelitup muka di Butterworth.
“Selain itu, pemilik sebuah premis yang gagal mengawal kemasukan pengunjung di Mak Mandin dikompaun RM20,000, manakala empat pelanggannya yang tidak mengamalkan penjarakan fizikal masing-masing dikompaun RM4,000,” katanya. – K! ONLINE