BANDAR GAZA – Pertempuran antara pejuang Hamas dan tentera Israel di Tebing Barat semakin memuncak dengan 11 lagi penduduk Palestin terbunuh, menjadikan angka korban keseluruhan sebanyak 126 orang setakat ini, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Konflik terburuk sejak tahun 2000 itu menyaksikan tentera pejuang Palestin melancarkan lebih daripada 2,000 serangan roket ke arah Israel sejak Isnin, yang telah membunuh sembilan orang.
Tunjuk perasaan meletus di seluruh wilayah sehingga memaksa penduduk Palestin membaling batu ke arah rejim Zionis yang bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah, kata beberapa sumber.
Israel semalam melancarkan serangan ke arah terowong bawah tanah milik Hamas yang terletak di kawasan awam.
Serangan tanpa henti telah menyebabkan bangunan dan rumah runtuh.
Susulan kebimbangan terhadap serangan yang berlanjutan, penduduk Gaza menjadikan masjid dan sekolah sebagai tempat berlindung.
Sementara itu, Syria melancarkan serangan roket ke arah Israel semalam, dengan satu daripadanya jatuh di dalam kawasan negara itu sendiri.
Serangan itu dibuat selepas Israel bertindak membedil Lubnan yang telah membunuh seorang ahli kumpulan Hezbollah. – AFP