PUTRAJAYA – Polis menafikan terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhubung kunjungan ahli keluarga anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Persiaran Selatan-Hala Keluar ke Dengkil pada hari raya pertama lalu.
Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, anggota terlibat merupakan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya yang bertugas dan tinggal di Putrajaya bersama keluarga dan anaknya berumur 5, 10 tahun dan 11 tahun.
Beliau berkata, kehadiran isteri dan anak anggota polis yang bertugas di lokasi SJR adalah bagi memberi sokongan moral kepada anggota berkenaan kerana bertugas di pagi raya di samping menyerahkan juadah hari raya.
“Selepas selesai bersalaman keluarga anggota tersebut telah beredar pulang ke rumah.
“Pemeriksaan mendapati tiada pelanggaran SOP PKP dilakukan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.-K! ONLINE