SANTIAGO, CHILE – Angka korban Covid-19 yang terus meningkat di seluruh dunia mendorong seorang wanita di Chile bertindak meraikan hidupnya dengan cara mengadakan majlis pengebumian palsu, lapor Daily Star semalam.
Mayra Alonzo, 59, membelanjakan wang £710 (RM4,112) untuk menempah keranda dan berbaring di dalamnya selama beberapa jam sambil dikelilingi rakan-rakan dan ahli keluarga yang berpura-pura menangisi ‘pemergiannya’.
Alonzo memakai pakaian berwarna putih bersama mahkota diperbuat daripada kuntuman bunga. Dia kemudian memasukkan kapas ke dalam hidungnya dan berbaring di dalam keranda yang sudah ditempah.
Menurut laman berita tempatan, kos majlis pengebumian palsu tersebut meliputi keranda dan sajian makanan kepada tetamu.
Rakan-rakan, ahli keluarga dan jiran Alonzo juga merakam gambar majlis tersebut sambil menangis.
Alonzo berkata, majlis tersebut merupakan ‘impian menjadi kenyataan’ dan menambah, seandainya dia mati kelak, dia tidak mahu majlis pengebumian kerana sudah berpeluang merasainya semasa masih hidup.
Pengguna media sosial rata-ratanya keliru dan mengkritik majlis pengebumian palsu tersebut.
Mereka menganggapnya sebagai satu penghinaan ketika banyak nyawa melayang akibat Covid-19.
Alonzo bagaimanapun menegaskan bahawa kematian akibat Covid-19 telah memberikannya inspirasi untuk meraikan hidupnya dengan mengadakan majlis pengebumian palsu.
Dia juga menasihatkan orang ramai untuk tidak mati sekarang kerana keranda merupakan tempat yang panas dan sunyi. -Agensi