SINGAPURA – Singapura kembali kepada keadaan mirip perintah berkurung yang dilaksanakan setahun lalu.
Pemerintah pulau itu melarang makan di restoran dan mengehadkan perhimpunan kepada dua orang berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 yang gagal dikesan sumbernya.
Sebelum ini Singapura merupakan antara rantau paling berjaya mengekang penularan koronavirus.
Selama empat minggu dari 16 Mei hingga 13 Jun ini saiz perhimpunan termasuk lawatan isi rumah dihadkan kepada dua orang berbanding lima orang sebelumnya.
Pekerja juga diminta bekerja dari rumah dan restoran hanya boleh beroperasi secara bungkus dan bawa pulang sahaja, kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan hari ini.
Kemunculan semula jangkitan itu juga bakal menjejaskan gelembung perjalanan antara Singapura dan Hong Kong.
“Corak jangkitan tempatan tanpa kaitan dengan kes komuniti muncul dan berterusan.
“Kita perlu bertindak tegas untuk mengekang risiko ini kerana sebarang kebocoran akan menyebabkan jangkitan Covid-19 menjadi tidak terkawal” kata kenyataan tersebut.
Bilangan kes baharu dalam komuniti meningkat daripada 48 sejak seminggu sebelumnya kepada 70 pada minggu lalu manakala jangkitan yang gagal dikesan sumbernya adalah yang paling membimbangkan. – Agensi