GRANADA – Juara bertahan, Real Madrid terus menghidupkan peluang untuk memburu kejuaraan La Liga musim ini selepas mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Granada di Estadio Los Carmenes awal pagi tadi.
Empat gol skuad Los Blancos dalam aksi itu masing-masing dijaringkan satu oleh Luka Modric, Rodrygo, Alvaro Odriozola dan Karim Benzema.
Kemenangan itu membolehkan Real melonjak ke tangga kedua dengan 78 mata, dua mata ketinggalan di belakang pendahulu liga yang juga seteru setempat, Atletico Madrid dengan baki dua perlawanan sahaja lagi.
Ketua jurulatih Real, Zinedine Zidane percaya mereka masih mampu melakukannya sambil mengharapkan keajaiban agar Atletico keciciran mata dalam baki dua aksi La Liga selepas ini.
“Kami akan memberikan segala-galanya sehingga wisel perlawanan terakhir musim ini ditiupkan. Walau apa cara sekalipun, kami perlu menang baki dua perlawanan selepas ini,” katanya.
Bagaimanapun, Real perlu membayar harga mahal terhadap kemenangan itu apabila bintang berpengaruh, Marcelo menjadi pemain terbaharu yang terpaksa disisihkan kerana masalah kecederaan.
Sebagai rekod, peluang Real dilihat agak sukar kerana bakal berhadapan dengan dua pasukan ‘liat’ bermula Athletic Bilbao awal pagi Isnin sebelum perlawanan terakhir menentang Villarreal pada 24 Mei ini.
Laluan Atletico pula lebih cerah kerana dijadualkan menentang Osasuna di tempat ke-11 dan pasukan ketiga tercorot liga, Real Valladolid. – AGENSI