fbpx

Polis tahan tiga lelaki main mercun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman video insiden anggota polis dibaling mercun di Bandar Baru Sentul semalam.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menangkap tiga lelaki berhubung kejadian anggota polis dilempar mercun semasa membuat rondaan dan pemantauan pembakaran mercun secara terbuka di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis telah berjaya menangkap tiga lelaki yang sedang bermain mercun berbentuk bola di Tingkat 11, Blok 33 pangsapuri berkenaan.

“Tiga tangkapan tersebut berusia 44 tahun, 12 tahun dan 13 tahun.

“Sebanyak 48 butir mercun bola telah dirampas daripada sebuah beg silang yang dipakai oleh salah seorang tangkapan berusia 13 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan tangkapan itu juga katanya, pihak polis telah menyerbu sebuah premis di Blok 39 dalam pangsapuri yang sama dan menangkap seorang lelaki berusia 58 tahun kerana didapati menjual mercun tanpa lesen yang sah.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 ke atas tiga tangkapan pertama kerana kesalahan membakar mercun yang dilarang.

“Manakala siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 ke atas tangkapan kemudian kerana memiliki atau menjual mercun yang dilarang,” katanya.

Selain itu, kesemua tangkapan juga disiasat bersabit kes lontaran mercun ke atas anggota polis.

“Setakat ini pihak polis tidak menemui keterangan untuk mengaitkan pembabitan mereka dalam kes tersebut maka pada kesemua tangkapan telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini,” jelasnya.

Terdahulu, tindakan polis menyuraikan kira-kira 200 individu yang berkumpul bertukar gempar apabila dibaling mercun oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam kejadian di Pangsapuri Sri Perak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI