SHAH ALAM – Sikap peniaga yang masih gagal meletakkan tanda harga termasuk berwarna merah jambu masih dikesan berlaku sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, ini berdasarkan 18 kes telah dihasilkan menerusi pemantauan dan pemeriksaan terhadap 3,080 premis dan gerai sejak pelaksanaan skim tersebut pada 21 April lalu.
“Selain itu, terdapat juga segelintir peniaga yang menjual barangan yang tersenarai dibawah skim ini melebihi harga yang ditetapkan seperti ayam dan daging.
“Sebanyak RM3,050 kompaun dengan nilai sitaan berjumlah RM3,144.20 turut dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya akan melaksanakan tindakan pengeluaran notis di bawah seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah.
Ujarnya, ini kerana penetapan harga berkenaan telah diambil kiraan dengan pihak ketiga menerusi mesyuarat dan perbincangan yang diadakan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan Skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Disamping itu, pengeluar, pemborong dan peruncit diingatkan tidak menaikkan harga secara mendadak selepas berakhirnya pelaksanaan skim ini,” jelasnya.
Untuk rekod, pelaksanaan SHMMP HRP dilaksanakan selama 30 hari bermula 21 April hingga 20 Mei ini. – K! ONLINE