RIYADH – Pertubuhan Kerjasama Islam(OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar Ahad ini bagi membincangkan situasi di Baitulmuqaddis dan Gaza.
Menurut akhbar Arab News semalam, mesyuarat tergempar itu akan diadakan atas permintaan Arab Saudi.
Mesyuarat antara menteri-menteri luar anggota OIC itu akan membincangkan serangan berterusan Israel ke atas wilayah Palestin yang semakin sengit sejak Isnin lalu.
Tentera Israel berkumpul di sempadan Gaza semalam manakala pejuang Palestin membedil lebih banyak roket ke wilayah Rejim Zionis dalam konfrontasi yang mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa.
Susulan kebimbangan tersebut, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kelmarin untuk menghantar utusannya, Hady Amr ke Asia Barat.
Presiden Joe Biden berkata, AS sedang berhubung dengan Arab Saudi dan Mesir bagi mengendurkan situasi di Gaza.
Mesir, Tunisia dan negara lain di rantau itu boleh membantu memainkan peranan jangka pendek dalam usaha meredakan konflik tersebut,kata setiausaha akhbar White House, Jen Psaki semalam. – Agensi