fbpx

Misi kemanusiaan khas ke India dikuarantin 21 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melanjutkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 21 hari untuk semua penumpang Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang tiba dari India kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perlanjutan juga dikenakan terhadap penumpang yang tiba melalui penerbangan penghantaran pulang ke tanah air semalam.

Beliau berkata, pada Selasa lalu kerajaan bersetuju membawa pulang rakyat Malaysia dari India menerusi misi HADR.

“Penerbangan berkenaan membawa pulang 132 orang (64 lelaki dan 68 perempuan) iaitu 117 orang rakyat Malaysia, lapan warga Brunei, empat warga Denmark, dua warga India dan seorang warga Indonesia.

“Mereka terdiri dari 92 orang dewasa dan 40 orang kanak-kanak. Misi ini hanya membawa pulang penumpang dengan keputusan ujian RT- PCR Covid-19 negatif sahaja,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Katanya, seramai 20 petugas iaitu 14 anak kapal, empat anggota KKM dan masing-masing seorang anggota dari Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Luar Negeri turut menyertai penerbangan tersebut.

Menurut Noor Hisham, mereka mengenakan kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) penuh dan dibawa melalui laluan khas ke Unit Kecemasan Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menjalani saringan kesihatan.

“Didapati tiada penumpang yang mengalami gejala, namun mereka telah diambil calitan untuk ujian pengesanan Covid-19 bagi tindak balas berantai polimerase (Rt-PCR).

“Keputusan ujian yang diperoleh semalam menunjukkan tujuh dari 132 penumpang dikesan positif Covid-19 dengan kadar kepositifan 5.3 peratus.

Menurutnya, Mengambil kira penilaian risiko yang dijalankan maka KKM memutuskan untuk melanjutkan tempoh kuarantin wajib penumpang yang tiba dari India bagi misi HADR dan penumpang melalui penerbangan repatriasi kelmarin iaitu daripada 14 hari kepada 21 hari.

Mereka dikehendaki menjalani kuarantin wajib di stesen yang ditetapkan kerajaan di samping melakukan ujian makmal Rt-PCR.

“KKM akan memantau situasi ini dan akan membuat penilaian risiko untuk segera melihat keperluan memanjangkan tempoh kuarantin 14 hari kepada 21 hari bagi semua penumpang lain misalnya rakyat Malaysia yang tiba dari negara India.

“Sekatan sedia ada bagi penumpang bukan warganegara ke Malaysia dari India masih berkuat kuasa seperti biasa,” katanya.

Beliau menasihati rakyat agar memberi kerjasama dalam mengekang varian baharu dari India iaitu B.1.617 yang dilaporkan lebih pantas menular dan menyebabkan gejala lebih serius termasuk dalam kalangan individu berusia 50 tahun ke atas. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI