RANTAU PANJANG – Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ditemui selepas kereta yang dipandunya tergelincir ke dalam Sungai Golok di Kampung Lubok Gong di sini hari ini.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.10 petang ketika mangsa yang berusia 50-an sedang memarkir kenderaan utiliti sukan (SUV) bernombor pendaftaran Thailand di tepi sungai itu.
Bagaimanapun, SUV tersebut tergelincir ke dalam Sungai Golok sebelum dihanyutkan arus deras dan terbenam di kawasan dasar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba, Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.16 petang.
Menurutnya, seramai 14 anggota bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Hasil bantuan penduduk yang membuat selaman telah menjumpai kenderaan tersebut di dasar sungai.
“Kenderaan itu kemudian ditarik secara bergotong-royong oleh penduduk kampung naik ke kawasan tebing Sungai Golok di sebelah negara jiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Imran memberitahu, SUV itu dinaikkan di bahagian negara jiran ekoran tebingnya lebih landai berbanding di kawasan negara ini.
Katanya, mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari tempat kenderaannya dilaporkan terjunam ke dalam sungai.
Tambah Imran, mayat mangsa dibawa ke Hospital Golok untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE