GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan pengguna agar tidak mengunjungi pasar awam atau pasar raya untuk membeli barangan keperluan setiap hari buat sementara waktu.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, pemerhatian pihaknya mendapati orang ramai termasuk warga emas masih ramai mengunjungi pasar-pasar awam dan pasar basah di negeri ini termasuk yang membawa anak-anak kecil.
Ujar beliau, pihaknya percaya kes positif Covid-19 cenderung berkurang sekiranya pengguna mengurangkan lawatan harian mereka ke lokasi sesak seperti itu.
“Jika budaya membeli barangan keperluan pada setiap hari tidak dibendung, CAP bimbang kita boleh mencatatkan sehingga 5,000 atau lebih kes harian positif Covid-19.
“Sehubungan itu, sumbangan semua pihak termasuk pengguna sangat penting untuk kita mengurangkan jumlah kes baharu Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, para pengguna perlu membiasakan diri untuk menghentikan budaya membeli secara harian dengan merancang menggunakan barang keperluan selama tiga atau empat hari berikutnya setelah dibeli.
“Selama setahun, setiap hari kerajaan mengulangi peraturan yang harus kita ikuti, namun masih ramai yang dilihat tidak mengambil peduli.
“Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan hukuman rotan kepada individu yang degil itu sebagai satu-satunya tindakan untuk memberi kesedaran,” katanya. – K! ONLINE