fbpx

Gajah liar ganggu penduduk Kampung Gol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN tanaman pisang penduduk kampung yang dimusnahkan gajah liar di Kampung Gol, Ulu Tembeling di Jerantut.

JERANTUT – Penduduk Kampung Gol di Ulu Tembeling di sini menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam kebimbangan ekoran ancaman gajah liar yang semakin menjadi-jadi dalam suasana perayaan pandemik Covid-19 kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Gol, Abu Jamil Awang Mahmud berkata, terdapat dua ekor gajah liar didapati sering memusnahkan tanaman dan berkeliaran berhampiran rumah penduduk sehingga boleh menjejaskan keselamatan mereka.

“Ancaman haiwan liar ini bermula pertengahan bulan Ramadan lalu apabila waktu siang ia bersembunyi di hutan berdekatan dan masuk ke kawasan kampung pada waktu malam dengan memusnahkan tanaman kelapa, pisang dan sayur-sayuran yang diusahakan penduduk di sini.

“Dalam kejadian pada pukul 11 malam dua hari sebelum raya, haiwan ini telah menceroboh kawasan kebun getah seluas 1.2 hektar milik seorang penduduk,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abu Jamil, salah seekor gajah liar berkenaan merupakan gajah jantan yang mempunyai tanda ‘tag’ Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurut Abu Jamil, keadaan itu membimbangkan penduduk kampung untuk keluar rumah kerana dibimbangi diserang haiwan liar berkenaan.

Beliau berkata pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Perhilitan dan berharap gajah liar berkenaan dapat ditangkap dengan segera.

“Kita berterima kasih kepada Perhilitan kerana telah menugaskan seramai 10 orang renjer untuk menangkap haiwan ini dua hari sebelum hari raya dan kerja pemantauan dan penangkapan haiwan tersebut disambung selepas hari raya,”katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk kampung, Jama Ahmad,50, berkata, hampir 10 batang pokok getah muda miliknya yang belum ditoreh musnah akibat pencerobohan gajah liar itu.

“Saya menjangka lebih banyak tanaman getah ini akan rosak termasuk pisang dan sayur-sayuran komersial penduduk di sini sekiranya haiwan liar ini tidak ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berharap, pihak Perhilitan segera menangkap haiwan liar berkenaan bagi mengelakkan lebih banyak kerugian dan ancaman kepada penduduk. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI