PETALING JAYA – Mungkin kebaya berlabuci sudah terlalu melampau dengan suhu sambutan Aidilfitri semalam, pelakon Emma Maembong ‘ceria’ menggayakan busana baju kelawar (pakaian tidur) di pagi 1 Syawal.
Menerusi hantaran beberapa keping foto yang dimuat naik dalam Instagramnya, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail dilihat memakai baju kelawar ketika bersalaman dengan suaminya, Shazli Azhar.
“Selamat hari raya,” tulisnya ringkas dalam Instagram.
Malah, suaminya juga dilihat tidak memakai baju Melayu dan hanya menggayakan kain pelikat bersama baju-T.
Menerusi satu perkongsian video, Emma turut berkongsi cara dia bersama suami menyambut hari raya di rumah dengan gaya santai sambil menonton televisyen dan melayan cahaya mata sulung mereka, Shariq Gabriel yang kini berusia hampir enam bulan.
Perkongsian raya ala PKP oleh pelakon itu mendapat perhatian pengikutnya dalam Instagram yang rata-rata terhibur dengan gelagat pasangan suami ister itu.
“Ini baru betul raya PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” komen salah seorang pengguna Instagram
“Emma pakai baju kelawar pun cantik,” puji seorang pengikutnya.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir pengikutnya meninggalkan komen berbaur teguran terhadap pelakon berusia 28 tahun itu supaya menghormati Hari Raya Aidilfitri.
“Walaupun beraya di rumah, bercantik-cantik (memakai pakaian cantik) itu sunnah. Merayakan hari kemenangan (selepas sebulan berpuasa),” tegur salah seorang pengikutnya.
“Memang tidak dapat menziarahi saudara-mara, sekurang-kurangnya kita perlu juga meraikan Aidilfitri,” kata seorang peminatnya.
Pada 10 Mei lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di seluruh negara selain tidak membenarkan aktiviti ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur bermula 12 Mei sehingga 7 Jun. – K! ONLINE