VIJAYAWADA, INDIA – Dua pesakit Covid-19 dilaporkan meninggal dunia apabila ambulans-ambulans yang membawa mereka tidak dibenarkan melalui Plaza Tol Pullur di sempadan negeri Andhra Pradesh-Telangana di daerah Kurnool pagi tadi, lapor akhbar Times of India
Kedua-dua pesakit yang dilaporkan dalam keadaan serius, dibawa ke Hyderabad apabila polis Telangana menahan dan menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai kebenaran memasuki negeri itu.
Kelewatan dalam mendapatkan rawatan menyebabkan kematian mereka.
Setakat ini, hampir 20 ambulans yang dalam perjalanan ke Hyderabad ditahan berjam-jam di plaza tol tersebut.
Di sebalik rayuan oleh anggota keluarga pesakit, polis Telangana tidak membenarkan ambulans-ambulans memasuki negeri itu.
“Kami sedang membawa suami saya ke Hyderabad bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
“Dia bernafas menggunakan mesin ventilator dan amat memerlukan rawatan segera.
“Saya meminta mereka membenarkan kami tetapi mereka (polis Telangana) tidak mahu memberi kebenaran memasuki negeri itu,” kata seorang wanita.
Keluarga wanita itu berkata, mereka menempah katil di sebuah hospital swasta untuk pesakit tersebut tetapi polis enggan menerima alasan itu. – Agensi