KOTA BHARU – Seorang murid tahun lima putus tiga jari tangan kanannya selepas mercun buatan sendiri yang diperbuat menggunakan botol tiba-tiba meletup dalam kejadian di Kampung Kedai Buloh di sini kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu menyebabkan jari telunjuk, hantu dan manis tangan kanan Nor Sham Shah Kiemee Ahama, 11, putus apabila belerang daripada 25 biji mercun bola di dalam botol itu meletup selepas ia dinyalakan.
Ibu saudara mangsa, Wan Rahimah Wan Noh, 31, berkata dia menyedari kejadian tersebut selepas seorang rakan mangsa membawa satu jari anak saudaranya di dalam plastik ke rumah untuk memaklumkan mengenai tragedi ngeri itu.
Katanya, selepas melihat dan mengetahui kejadian itu, anak lelakinya, Aefan Rasha Adnan, 13, terus bergegas memberitahu keluarga mangsa.
“Saya terkejut melihat jari itu dalam keadaan masih berdarah. Saya terus pergi ke tempat kejadian untuk mencari dua lagi jari mangsa yang sudah putus.
“Selepas kejadian itu, saya mendengar mangsa menyebut kalimah Subhanallah sambil berjalan kaki pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.
Menurut Wan Rahimah, anak saudaranya itu kemudian dibawa ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk pemeriksaan lanjut.
Ibu mangsa, Wan Norshasakini Wan Noh, 40, ketika dihubungi berkata, anak bongsunya kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di wad Mawar HRPZ II.
“Saya reda dengan kejadian menimpa anak saya dan akan membuat laporan polis berhubung kes ini dalam masa terdekat,” katanya. – K! ONLINE