MADRID – Atletico Madrid akan mengesahkan kejuaraan La Liga milik mereka jika menang baki dua perlawanan terakhir musim ini.
Kejayaan itu hadir selepas Atletico berjaya mengetepikan pasukan tempat kelima, Real Sociedad dengan kemenangan 2-1 di Stadium Wanda Metropolitano awal pagi semalam.
Dua gol Atletico dijaringkan oleh Yannick Carrasco dan Angel Correa masing-masing dalam babak pertama manakala Izgor Zubelda meledak jaringan tunggal buat Sociedad pada separuh masa kedua.
Peluang Atletico kembali cerah susulan kegagalan satu lagi pasukan pilihan yang menghuni tangga kedua, Barcelona melepaskan peluang apabila sekadar seri 3-3 dengan Levante kelmarin.
Justeru, ketua jurulatih Atletico, Diego Simeone menggesa barisan pemainnya agar tidak leka dan memberikan fokus penuh kepada baki dua aksi selepas ini bagi merealisasi impian bergelar juara La Liga musim ini.
“Saingan musim ini cukup mencabar dan sekarang kami cuma ada dua perlawanan sahaja lagi untuk menamatkannya. Ia adalah segala-galanya buat kami.
“Ahad ini (awal pagi Isnin) akan menjadi perlawanan yang sangat penting buat Atletico kerana ia mampu menentukan peluang kami dalam kedudukan La Liga,” katanya.
Sebagai rekod, Atletico tiada cara lain selain menang ke atas Osasuna awal pagi Isnin ini dan Real Valladolid pada 24 Mei jika mahu mengulangi kejayaan menjulang trofi La Liga sejak kali terakhir memenanginya pada musim 2013/2014. – AGENSI