SEBERANG PERAI – Seorang bapa cedera selepas diserang anak lelakinya yang disuruh menjamah makanan dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berusia 60 tahun cedera pada tangan dan perut selepas terkena pisau yang diacukan oleh anaknya berusia 17 tahun yang mengalami kemurungan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pemuda itu mangambil sebilah pisau pemotong buah di dapur selepas ibunya menyuruh orang kena tahan (OKT) tersebut makan juadah hari raya.
“Kejadian berpunca apabila ibu OKT menegurnya kerana tidak mahu makan sebelum dia mencederakan bapanya dengan pisau pada perut dan tangan kiri.
“Akibat kejadian itu, mangsa luka ringan pada perut sebelah kiri dan ibu jari kiri serta dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Shafee berkata, siasatan pihaknya mendapati OKT yang merupakan penuntut tahun dua di sebuah kolej vokasional di sini sedang mendapatkan rawatan psikiatrik kerana mengalami kemurungan dan mental sejak tahun lalu.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan selepas OKT ditahan mendapati dia negatif dadah,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE