TEL AVIV – Pejuang Hamas melancarkan beratus-ratus roket ke arah Israel selepas serangan udara Rejim Zionis membunuh seorang komander kanan dan meranapkan sebuah bangunan tinggi di Gaza.
Beberapa laporan menyatakan, sebilangan lokasi di selatan Israel dibedil, menyebabkan seorang kanak-kanak terbunuh di Sderot, selatan Israel.
Pertempuran yang semakin sengit dan bermula pada Isnin lalu itu mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran perang skala penuh akan berlaku.
Sekurang-kurangnya 65 orang di Gaza termasuk 14 kanak-kanak dan tujuh orang di Israel terbunuh sejak dari itu.
Sementara itu, keganasan meletus di bandar yang didiami penduduk berketurunan Arab dan Yahudi di bandar Lod.
Kanak-kanak ketakutan dan penduduk tempatan lari untuk menyelamatkan diri.
Keganasan seterusnya di kawasan berpenduduk Arab dan Yahudi di Israel membawa kepada penangkapan lebih 374 orang petang semalam, kata polis Israel manakala 36 anggota polis cedera.
Media Israel melaporkan bahawa individu berketurunan Arab dan orang Yahudi diserang dalam rusuhan itu di bandar dan kota raya Israel.
Mereka termasuk seorang lelaki Yahudi yang cedera diserang perusuh Arab di bandar Acre dan lelaki Arab yang dibelasah pelampau Yahudi di Batu Yam.
Bercakap pada sidang akhbar lewat semalam, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, beliau akan menghantar pasukan tentera untuk mengembalikan ketenteraman di bandar-bandar yang terjejas akibat keganasan.
“Tiada justifikasi untuk perusuh Arab menyerang orang Yahudi,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan akhbar Times of Israel.
Pejuang Palestin membedil roket ke Israel sejak malam Isnin lalu manakala Rejim Zionis bertindak balas dengan menyerang berbilang sasaran di Genting Gaza.
Beratus-ratus serangan udara dan roket telah dilancarkan.
Kementerian Kesihatan Hamas di Gaza berkata, lebih 360 orang cedera sejak konflik tersebut bermula di samping 65 orang yang meninggal dunia. -Agensi