KUANTAN – Kerajaan negeri memberi jaminan semua kemudahan kesihatan di Pahang masih mempunyai kemampuan untuk menangani peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan sejak minggu lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini kapasiti katil di semua hospital di Pahang mencukupi dan belum mencapai tahap maksimum.
“Semua kemudahan kesihatan, termasuk katil bagi menempatkan kes Covid-19 tidak berdepan masalah dan petugas kesihatan juga sedang melakukan yang terbaik bagi memastikan setiap kes dapat dikendalikan sebaik mungkin.
“Sekarang ini semuanya masih dalam kawalan dan inilah pentingnya kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ia bertujuan untuk mengawal keadaan daripada berlaku situasi tidak terkawal.
“Memang masih ada segelintir yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, cuma kita harap apabila PKP dikuatkuasakan, mereka ini lebih peka dan tidak lagi bebas bergerak hingga menyukarkan usaha untuk memutuskan rangkaian wabak (Covid-19) di Pahang,” katanya selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Lumpur, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.
Sehingga semalam, Pahang merekodkan 63 kes positif baharu membabitkan 18 kes dari Kluster Tanah Putih; dua kes Kluster Mahkota Height; satu kes Kluster Indera Mahkota 2; sebanyak 29 kes hasil saringan kontak rapat; lapan kes saringan bergejala; empat kes saringan bersasar dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan satu kes saringan pekerjaan.
Sementara itu, mengulas mengenai rungutan orang awam mengenai lokasi sekatan jalan raya dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pahang, Wan Rosdy berkata, pemilihan setiap lokasi bagi mengadakan sekatan jalan raya dibuat selepas kajian teliti dilakukan PDRM.
“Lokasi sekatan jalan raya ini diputuskan selepas kajian dibuat, memang tidak dinafikan apabila ada sekatan jalan raya, pergerakan orang ramai sedikit terganggu dan inilah tujuan utama kita buat PKP, untuk mengurangkan pergerakan orang ramai.
“Kalau tidak ada sekatan jalan raya dan semua bebas ke sana ke sini, maknanya kita tidak akan berjaya mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 dan akhirnya menyusahkan semua pihak.
“Saya fikir semua ini (sekatan jalan raya) hanyalah bersifat sementara dan apabila kita sudah berjaya mengawal (penyebaran) wabak Covid-19, sudah pasti kita akan dapat bergerak dengan lebih selesa dan selamat,”ujarnya. -K! ONLINE