ALOR SETAR – Polis Kota Setar menerima sebanyak 11,561 permohonan rentas negeri dan daerah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak dilaksanakan pada 1 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, jumlah permohonan tersebut yang diluluskan sebanyak 6,836 manakala permohonan yang ditolak pula 4,725.
Menurutnya, kebanyakan permohonan tersebut ditolak kerana alasan yang diberikan tidak munasabah dan tidak mematuhi arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kebanyakan alasan yang diberikan oleh pemohon bukan sesuatu yang kritikal seperti yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Alor Setar Utara di sini hari ini.
Ahmad Shukri juga melawat SJR di Plaza Tol Alor Setar Selatan dan SJR Kota Sarang Semut di sini.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, polis tidak mengeluarkan kompaun kepada pengguna jalan raya dalam tempoh PKP itu.
Katanya, sebanyak 287 kenderaan pula diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas daerah daripada polis.
“Dalam tempoh tersebut, tiada kes cubaan rentas negeri dikesan atau diarah berpatah balik,” katanya.
Tambahnya, polis tidak melakukan sekatan atau penutupan jalan-jalan tikus sebaliknya membuat rondaan dan ‘snap check’ bagi mengesan individu yang cuba merentas daerah dan negeri.
Pada masa sama, beliau memberitahu, polis juga akan melakukan pemantauan dari rumah ke rumah pada hari raya ini.
“Pasukan pemantau melakukan tugasan tersebut untuk memastikan tidak ada mereka yang terlepas pemeriksaan di SJR dan beraya bersama keluarga,” ujarnya. – K! ONLINE