MESKIPUN terlepas meraih pingat pada kejohanan Terjun Piala Dunia di Jepun baru-baru ini, namun misinya untuk meraih tiket ke temasya Sukan Olimpik sudah berjaya digenggam penerjun negara, Cheong Jun Hoong.
Bagaimanapun, Jun Hoong mengakui semangatnya semakin membara untuk melakukan persiapan terbaik menjelang Sukan Olimpik Tokyo yang membuka tirai pada Julai nanti.
Tegasnya, misi pertamanya adalah ingin memastikan keadaan fizikal kekal cergas dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang menghimpitnya tiga tahun lalu.
“Saya rasa amat bersyukur kerana telah berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Perjalanan yang amat panjang dan akhirnya saya berjaya melayakkan diri ke Tokyo.
“Bagaimanapun, saya perlu fokus dan meneruskan latihan seperti biasa untuk melakukan persiapan ke Tokyo nanti. Apa pun saya perlu berhati-hati terutama keadaan fizikal saya.
“Sayang sekali saya tidak berjaya ke final di Tokyo. Namun, saya bersyukur kerana berjaya mencapai matlamat saya untuk layak menyertai Sukan Olimpik,” katanya.
Jun Hoong yang meraih emas dalam acara 10m platform pada Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary pada Julai 2017 terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan lutut pada 2018 dan tidak menyertai sebarang pertandingan sejak itu.
Dia turut terlepas peluang beraksi pada Sukan Asia 2018 di Indonesia dan pertandingan pertama disertainya selepas berehat panjang adalah Kejohanan Terjun Antarabangsa secara maya yang diadakan di Malaysia pada Disember tahun lalu.
Bekas juara dunia dan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu muncul atlet ke-13 Malaysia melayakkan diri ke temasya Tokyo yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos.