PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) terus menerima tamparan hebat apabila Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjadi ahli gabungan badan induk sepak takraw negara itu.
Presiden PSS, Datuk Markiman Kobiran berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara selepas melihat kepincangan PSM apabila gagal untuk mempertahankan maruah negara susulan penggantungan Presiden, Datuk Seri Ahmad Ismail selama 15 tahun.
Malah, badan induk sepak takraw negara juga bakal menerima nasib sama dalam perbicaraan Jawatankuasa Disiplin Persekutusan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang akan dilangsungkan secara maya pada 20 Mei ini.
“Keputusan yang kita buat hari ini (semalam) telah diputuskan menerusi mesyuarat khas pada 9 Mei lalu berikutan masalah yang sedang berlaku terhadap PSM. Kita menyedari keingkaran dan kedegilan PSM dan Presiden, secara peribadinya gagal, enggan, ingkar dalam menjawab surat tunjuk sebab.
“Selain itu, mereka juga tidak memperdulikan serta tidak menghantar wakil perbicaraan sekali gus menyaksikan kredibiliti presiden, PSM dan maruah negara telah dijadikan bahan cemuh dihina tanpa sebarang perbelaan mana-mana pihak,” katanya semalam.
Markiman berkata, pihaknya tidak nampak usaha yang dilakukan PSM terutama menerusi Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz Safiat dan Setiausaha Agung, Datuk Abidullah Salleh yang dilihat sengaja ingkar untuk mengambil langkah membela nasib PSM pada 20 Mei ini nanti.
“Apa yang kita lihat, Timbalan Presiden mahupun Setiausaha Agung dilihat enggan, ingkar atau sengaja lalai dalam mengambil langkah untuk membela nasib PSM dalam perbincangan 20 Mei nanti.
“Sepatutnya gunakan ruang yang ada untuk membela nasib PSM. Perlu diingat bahawa PSM ini bukan milik individu tetapi ia milik badan gabungan mahupun negeri-negeri. Kita nak tahu apa yang mereka lakukan dan malangnya mereka yang berwajib tidak melakukan apa-apa.
“Tindakan Presiden PSM, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung yang lalai atau ingkar atau tidak cekap menyebabkan masa depan kebajikan pemain dan sepak takraw negara akan terjejas secara keseluruhannya.
“Jika PSM digantung, apa nasib kepada sepak takraw negara dan kemana mereka semua nak pergi? Oleh itu, PSS telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ahmad Ismail dan pengurusan PSM. Justeru PSS akan menarik diri keluar daripada ahli gabungan PSM serta merta,” tambahnya.
Ketika ini, PSS juga dalam usaha mengadakan perbincangan untuk menubuhkan persatuan sepak takraw negara yang baharu bagi memastikan kebajikan, pengurusan dan pentadbiran diuruskan dengan baik.