fbpx

Tidak sempat edar 160 gelen ubat batuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lori membawa ubat batuk yang ditahan oleh PGA di hadapan Sekolah Pendidikan Khas dekat Lati hari ini. - Foto IHSAN PGA 7

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berjaya menggagalkan cubaan seorang pemandu lori untuk mengedar sebanyak 160 gelen ubat batuk bernilai RM192,000 selepas menahan kenderaan itu di hadapan Sekolah Pendidikan Khas dekat Lati di sini hari ini.

Bahagian belakang lori yang bertutup penuh dengan kain kanvas itu ditahan pada pukul 4 pagi tadi ketika anggota PGA menjalankan pemantauan di lokasi tersebut.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, sewaktu pemantauan dijalankan, anggota PGA melihat sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota PGA telah menahan lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 21 tahun sebelum membuat pemeriksaan pada bahagian muatan kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut telah membawa kepada penemuan 40 buah kotak berwarna coklat mengandungi 160 gelen kodien atau ubat batuk.

“Selain itu, kita turut merampas wang tunai sebanyak RM891 yang dipercayai hasil daripada kegiatan jualan bahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari.

Azhari memberitahu, siasatan awal mendapati suspek mengambil bekalan ubat batuk itu dari Puchong, Selangor untuk dijual di dalam pasaran di Kelantan.

Tambahnya, kesemua barangan rampasan termasuk pemandu lori dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI