TURIN – Juventus kemungkinan disingkirkan daripada saingan Serie A jika mereka terus menyokong penganjuran Liga Super Eropah (ESL).
Presiden Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina menjelaskan, Juventus perlu membuat kenyataan rasmi untuk menarik diri daripada ESL yang mencetuskan kontroversi itu.
Skuad The Old Lady merupakan salah satu daripada tiga pasukan termasuk Real Madrid dan Barcelona yang masih berusaha untuk menjayakan saingan ESL.
“Kami sudah bosan dengan permainan tarik tali antara tiga pasukan ini dan UEFA (Persekutuan Bola Sepak Eropah). Saya harap boleh jadi orang tengah antara Juventus dan UEFA.
“Mereka boleh dikenakan tindakan dengan tidak boleh menyertai mana-mana kejohanan jika terus berdegil dengan arahan persatuan dan UEFA,” katanya.
Sebelum ini, Juventus bersama Real dan Barcelona mengutuk tindakan UEFA dan persatuan masing-masing selepas mereka diugut untuk disingkirkan daripada saingan liga domestik.
Pengerusi Juventus, Andrea Agnelli antara individu bertanggungjawab serta memainkan peranan penting dalam membentuk saingan ESL sehingga menggoncang arena bola sepak Eropah. – AGENSI