TAMPIN – Tindakan pantas sepasukan bomba berjaya menyelamatkan sebuah rumah di Blok 1, Felda Jelai 4, Gemas, di sini daripada musnah dimamah api petang tadi.
Dalam kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 2.36 petang.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Mohd Farid Abu Bakar, sebaik tiba di lokasi pada pukul 2.58 petang, api masih ada di bahagian ruang tamu rumah dan pasukannya mengambil masa dua minit bagi mengawal kebakaran.
“Kebakaran dipercayai melibatkan perkakas elektrik di ruang tamu rumah, namun berjaya dipadamkan sebelum merebak ke kawasan lain.
“Ketika kejadian, hanya terdapat ketua keluarga iaitu lelaki berusia lingkungan 40an di rumah berkenaan yang sedang membuat persiapan raya dengan membersihkan rumah,” katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.-K! ONLINE