fbpx

Raikan Aidilfitri sebagai bangsa bersatu – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah semasa bertitah sebentar tadi. Foto kredit FB RTM

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang akan meraikannya esok.

Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan menerusi saluran TV 1 malam ini, Seri Paduka bertitah agar seluruh rakyat menyambut hari raya ini sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan dengan penuh rasa kesyukuran.

Seri Paduka juga menyeru seluruh rakyat agar terus melangkah ke hadapan dengan menjaga kesihatan diri dan mematuhi semua peraturan yang telah digariskan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Saban tahun, Aidilfitri disambut dengan penuh kegembiraan merentasi agama dan bangsa. Anak rantau akan pulang ke kampung halaman, ziarah menziarahi menjadi amalan di samping menikmati juadah tradisi yang disajikan.

“Sesungguhnya, manusia hanya mampu merancang, Allah menentukan segalanya. Dalam ikhtiar untuk memerangi pandemik Covid-19, Aidilfitri pada tahun ini disambut dalam suasana berbeza dari kelaziman.

“Beta menyedari, rakyat terpaksa akur dengan pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan demi membendung penularan pandemik Covid-19,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda juga melihat dan mendengar keluh kesah sebilangan rakyat yang terkesan dengan pelbagai dugaan yang melanda, namun segala pelaksanaan norma baharu adalah untuk kebaikan serta masa depan bersama.

Justeru titah Seri Paduka, semangat ukhuwah dan kesabaran dari seluruh rakyat Malaysia adalah sangat dituntut dalam usaha untuk melawan pandemik ini.

“Janganlah pula kita melupakan kerukunan hidup bermasyarakat menerusi tutur kata yang menanam benih-benih perbalahan sesama kita. Sebaliknya, marilah kita bersyukur kerana kita masih lagi dapat melaksanakan ibadah di bulan Ramadan dan dikurniakan pula kesihatan untuk menyambut Syawal.

“Pada hari penuh keberkatan ini, marilah kita menghargai pengorbanan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa ataupun agama, yang telah sama-sama memerangi pandemik Covid-19 ini,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), petugas perkhidmatan kesihatan serta semua agensi kerajaan yang diamanahkan menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI