fbpx

Polis Kangar mula periksa rumah ke rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penjaga gol pasukan bola sepak Kedah, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim menunjukkan surat kebenaran rentas negeri yang sah kepada polis di rumahnya di Taman Bukit Kubu, hari ini.

KANGAR – Polis Kangar mula membuat pemeriksaan di kawasan perumahan bagi memastikan tidak berlaku perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula hari ini hingga 7 Jun depan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew memberitahu, pihaknya akan mengunjungi rumah yang mempunyai bilangan kereta yang banyak serta mempunyai nombor pendaftaran dari luar.

“Kita tahu yang nombor pendaftaran kereta boleh dibeli di mana-mana tetapi bila ada nombor plat luar itu akan wujud syak wasangka.

“Pasukan pemantau akan pergi memeriksa sama ada mereka menetap di sini atau datang dari negeri lain,” katanya ketika ditemui di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini hari ini.

Kata beliau, mereka yang datang dari negeri lain perlu mempunyai surat kebenaran yang sah atau akan dikenakan tindakan kompaun.

Sementara itu, Wari memberitahu, sebarang majlis termasuklah majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan sejajar SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Katanya, pihaknya juga mengadakan sekatan jalan raya (SJR) bergerak dengan tumpuan diberikan di Kangar, Kuala Perlis dan Simpang Empat.

“Ia bagi memastikan SOP PKP 3.0 dipatuhi oleh penduduk negeri ini serta mengelakkan individu dari negeri lain masuk ke negeri ini tanpa kebenaran.

“SJR bergerak ini adalah sebagai tapisan kedua selepas SJR di sempadan supaya tidak ada yang terlepas melalui jalan tikus serta bagi memastikan mereka yang menaiki kenderaan mematuhi SOP tiga orang sahaja,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak tiga SJR bergerak diadakan di Kangar, Kuala Perlis dan Simpang Empat kira-kira sejam bermula pukul 10.30 pagi ini.

“Terdapat beberapa kereta yang dinaiki lebih daripada tiga orang tanpa surat kebenaran sah diarahkan berpatah balik.

“Kita juga menyita sebuah motosikal dinaiki dua warga Myammar yang memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tanpa lesen di Kuala Perlis” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI