fbpx

Polis bongkar kilang proses arak tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Rahim (kiri) bersama Ayob Khan (kanan) melihat rampasan arak seludup dan tiruan bernilai lebih RM9.5 juta yang berjaya dirampas di Taman Desa Impian, Senai, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Polis berjaya membongkar satu sindiket pemprosesan arak tiruan dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah kilang di Jalan Idaman 1/10, Taman Desa Idaman, Senai di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, serbuan itu dijalankan pihaknya pada pukul 6.10 pagi.

Katanya, serbuan berkenaan dibuat menerusi Op Kontraban yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

“Dalam serbuan tersebut, polis menahan dua suspek yang merupakan pekerja, masing-masing seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun dan seorang lelaki warga Myanmar berusia 35 tahun.

“Polis turut merampas 93 tong drum berisi 18,600 liter cecair arak tiruan, 17 gelen (340 liter) pati campuran arak dan 5,419 botol (4,138.84 liter) arak.

“Turut dirampas, sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace, lima pam air, beberapa gulung pelekat Kastam palsu dan dua mesin gerudi. Kesemua rampasan bernilai RM9.55 juta,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di kilang berkenaan di sini hari ini.

Tambah Abd. Rahim, sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menyewa premis berkenaan manakala produk yang dihasilkan dijual ke seluruh negeri ini.

Jelasnya lagi, sejak 1 Januari hingga 10 Mei tahun ini, Briged Tengah PGA telah menjalankan sebanyak 52 serbuan Op Kontraban di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Dalam kesemua operasi itu, seramai 118 suspek berusia antara 23 hingga 64 tahun telah ditahan dengan rampasan keseluruhan bernilai lebih RM27 juta,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI