JEMPOL – Orang awam khususnya di daerah ini dialu-alukan untuk melaporkan sebarang aktiviti perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berlaku di mana-mana kawasan perumahan dan kediaman masing-masing kepada polis sebagai langkah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, orang awam boleh menyalurkan maklumat melalui aplikasi WhatsApp kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di talian 011-5890 1412 berkenaan perlanggaran SOP berkenaan dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Menurutnya, sepanjang perlaksanaan operasi dari Januari sehingga 11 Mei lalu, pihaknya telah mengeluarkan 93 kompaun pelbagai kesalahan yang melanggar SOP PKP 2.0/PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
“Sepanjang tempoh ini polis telah menangkap enam orang warga asing atas kesalahan merentas negeri tanpa surat kebenaran daripada polis dan kesemuanya telah dituduh di mahkamah.
“Team Pemantuan Task Force dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) sentiasa memantau tempat beribadat, tempat sektor ekonomi dan tempat tumpuan orang ramai yang diketahui sering melanggar SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Megara (MKN).
“Turut dilakukan pemeriksaan dan pemantuan ke atas 39 tempat kediaman, hostel, rumah kongsi warga asing dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19,” katanya sempena Program KPD Jempol Menyantuni Bekalan Sahur Petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) Kawasan Pentadbiran IPD Jempol di sini pagi tadi.
Chang Hook berkata, sempena program berkenaan dia telah meninjau tiga SJR iaitu SJR Sg Lui, SJR Ladang Gaddess dan SJR Rompin.
Menurutnya, bukan hanya membawa bekalan makanan dan minuman untuk tambahan makanan sahur yang sedia ada, kesemua petugas diberikan peringatan berkaitan penugasan di SJR yang perlu dilaksanakan.
Untuk rekod, seramai 30 anggota dan pegawai polis serta 27 anggota dan pegawai ATM ditugaskan menjaga SJR sepanjang perlaksanaannya di daerah ini. – K! ONLINE