PUTRAJAYA – Perdana Menteri menyifatkan keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini bukanlah perkara main-main sebaliknya ia adalah satu keputusan yang sukar tetapi mesti dibuat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedar keputusan melaksanakan PKP lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri pada 1 Syawal esok bukanlah satu keputusan popular.
Beliau berkata, keputusan itu bukanlah satu tindakan kejam sebaliknya untuk melindungi nyawa masyarakat ketika negara bergelut memerangi gelombang ketiga Covid-19 yang lebih mencabar dengan kehadiran varian baharu lebih ganas seperti yang dialami di India, United Kingdom, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa buah negara lain.
“Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok.
“Sudahlah tak boleh balik kampung. Nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah kerajaan ini? Saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia malam ini.
Dalam nada penuh keinsafan, Muhyiddin berkata, keputusan itu mungkin tidak memuaskan hati masyarakat namun, pada hematnya adalah tepat yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan rakyat sekalian.
“Saya faham dan sedar anda marah kepada saya tetapi ini ikhtiar saya dan kerajaan untuk jaga nyawa saudara dan saudari. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah S.W.T,” katanya.
Sementara itu, memberikan situasi jika kebenaran ziarah rumah ke rumah dibenarkan, Muhyiddin berkata, keadaan itu akan menyukarkan lagi usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, manalah tahu ada tetamu yang datang ke rumah saudara-saudari itu positif Covid-19. Ini kerana ramai pesakit Covid-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom. Dia sendiri pun tidak tahu dia dijangkiti.
“Selepas itu dia pergi ke rumah orang lain. Berjangkit pula kepada tuan rumah itu. Kalau dia ziarah 10 buah rumah, maka 10 keluarga akan dijangkiti Covid-19. Akhirnya, habis sahaja kita merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif mungkin melonjak ke puluhan ribu sehari,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan tidak semestinya memberi 100 peratus jaminan bahawa angka-angka kes Covid-19 di negara ini tidak akan meningkat.
Beliau sebaliknya berkata, ia bergantung kepada sejauh mana kita semua patuh kepada prosedur oeprasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ia bergantung kepada disiplin kendiri kita masing-masing. Sejauh mana kita berdisiplin dan beristiqamah dalam melawan virus ini,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin merayu kepada masyarakat untuk meningkatkan disiplin diri, dan mematuhi SOP pada setiap masa.
“Kita hidup di zaman pandemik. Samalah seperti kita hidup di zaman perang. Kita mesti mencari pelindungan di setiap masa untuk menyelamatkan nyawa dan pelindungan yang terbaik ialah di rumah kita sendiri.
“Anggaplah ini sebagai suatu pengorbanan untuk kita bersama-sama melawan pandemik ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua para petugas barisan hadapan atas khidmat bakti, penat lelah serta pengorbanan siang dan malam bertugas untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
“Saya doakan agar saudara dan saudari diberikan ketabahan dalam menjalankan tugas dan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik,” ujarnya. -K! ONLINE