fbpx

Pasangan disarankan tangguh majlis akad nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyarankan agar pasangan di negeri ini menangguhkan majlis akad nikah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini sehingga 7 Jun depan.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, majlis akad nikah adalah dibenarkan, bagaimanapun ia perlu diadakan dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, justeru pihaknya menasihatkan agar pasangan di negeri ini sebaiknya menangguhkan dahulu majlis akad nikah bagi bersama-sama membantu kerajaan mengekang penularan Covid-19.

“Majlis akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan oleh JAIM, namun pasangan disarankan menangguhkan hasrat tersebut bagi mengurangkan aktiviti merentas daerah dan negeri,” katanya.

Tambahnya, lokasi majlis akad nikah hanya dibenarkan untuk diadakan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) atau di mana-mana tempat yang ditentukan oieh JAIM sahaja.

“Pasangan tidak dibenarkan mengadakan majlis akad nikah di rumah atau premis persendirian.

“Majlis akad nikah akan diadakan pada tarikh, hari dan waktu yang ditetapkan oleh pihak JAIM. Jumlah kehadiran hendaklah tidak melebihi 10 orang termasuk jurunikah, pendaftar nikah, cerai dan rujuk, wali, pengantin lelaki, pengantin perempuan serta dua saksi daripada PAID atau masjid kariah,”katanya.

Jelasnya, majlis juga hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 20 minit sahaja termasuk bacaan khutbah nikah dan taklik.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI