fbpx

Maut terlanggar lopak air di LPT2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUV jenis Maserati Levente dinaiki Mohamed Najib dan Abd. Aziz yang terlibat dalam kemalangan di KM 384, LPT 2 berhampiran Ajil, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Seorang kapten kapal laut sebuah syarikat swasta maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV), Maserati Levante dinaikinya merempuh sebuah lori trak tunda di Kilometer 384, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.22 petang tersebut, Mohamed Najib Muhammd Kutty, 33, dari Kampung Chegar Batang, Besut meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Kemalangan itu turut menyebabkan pemandu SUV tersebut, Abd. Aziz Abd. Bakil, 33, yang juga juruelektrik cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan manakala pemandu lori trak tunda dan kelindannya yang masing-masing berusia 61 dan 57 tahun pula cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, Mohamed Najib dan Abd. Aziz dikatakan dalam perjalanan ke Kuaa Lumpur dari Besut.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, SUV Maserati Levante yang dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan telah terlanggar lopak air di laluan lebuh raya berkenaan sebelum hilang kawalan.

“Kenderaan itu kemudiannya terbabas memasuki laluan kanan lalu merempuh belakang sebuah lori trak tunda,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, impak daripada rempuhan itu menyebabkan SUV Maserati Levante melintang ke tengah lebuh raya manakala lori trak tunda itu pula terjunam ke dalam gaung berdekatan.

Menurut beliau, mayat Mohamed Najib yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan telah dikeluarkan sepasukan anggota bomba sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat.

“Abd. Aziz yang cedera parah pula sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi hospital sama. Dua lagi mangsa yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di unit kecemasan hospital sama,” katanya.

Mohd. Adli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI