PETALING JAYA – Melihat situasi pandemik Covid-19 yang semakin meruncing, pelakon Mimi Lana menggesa agar orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Peringatan tersebut dikongsi Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 26, dalam satu hantaran InstaStorynya.
“Kepada semu orang di luar sana. Sama ada anda sedar atau tidak, sekarang bukan masa yang sesuai untuk keluar lepak dan bersuka ria.
“Sekiranya tiada kepentingan, tolonglah duduk rumah. Jaga SOP dan kebersihan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Tulis pelakon drama Sein dan Luna itu lagi, peningkatan kes Covid-19 perlu dipandang serius oleh semua pihak ketika ini.
“Tolong ambil perkara ini secara serius. Virus tersebut tersebar dengan sangat mudah, pantas dan ada di mana-mana.
“Kita perlu elak sekarang sebelum menyesal pada kemudian hari. Jaga diri semua,” katanya lagi.
Terdahulu, beberapa selebriti tanah air seperti Nora Danish dan Tiz Zaqyah turut dilaporkan positif Covid-19. – K! ONLINE