fbpx

Hilang sumber pendapatan, berkorban demi anak leukemia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Amirul (empat dari kiri, depan) menerima sumbangan Tabung Peduli Adik Nur Khayla yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Amanah Temerloh, Azizol Shah Mohd. Noor (tiga dari kiri) di Kampung Teluk Ira di Temerloh.

TEMERLOH – Dalam keadaan bersedih mengenangkan nasib anak berusia setahun yang menderita leukemia, sepasang suami isteri terpaksa pula menyambut Hari Raya Aidilfitri jauh daripada ibu bapa di kampung selepas bayi mereka terpaksa mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Muhammad Amirul Syazwan Jafri,29, dan isterinya Nurhilmiyah Azman,25, kini menyewa sebuah rumah flat di Shah Alam bersama anak sulung mereka Nur Kayla yang berumur setahun sejak Disember tahun lalu.

Dengan situasi yang dihadapinya Muhammad Amirul kini hanya mengharapkan sumbangan daripada orang ramai dan saudara mara serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat untuk meneruskan kehidupan mereka sekeluarga.

Muhammad Amirul yang berasal daripada Kampung Teluk Ira di sini berkata, dia hilang sumber pendapatan selepas terpaksa berhenti berniaga di kedai makannya untuk memberikan tumpuan kepada anaknya yang mengidap leukemia berisiko tinggi.

“Selepas mendapat nasihat daripada doktor untuk memindahkannya ke PPUM pada 4 Disember tahun lalu saya terpaksa menutup kedai dan terus berpindah ke Shah Alam bagi mendapatkan rawatan anak saya yang dijangka menelan kos sebanyak RM60,000.

“Saya terpaksa ke PPUM kerana pada masa itu Hospital Kuala Lumpur penuh, jadi selepas membuat kutipan duit sumbangan saudara mara saya terus membawa anak saya ke hospital berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan Tabung Peduli Adik Nur Kayla yang dilancarkan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) Temerloh dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Teluk Ira di sini, semalam.

Pada majlis itu Ketua Bahagian Amanah Temerloh, Azizol Shah Mohd. Noor menyerahkan wang berjumlah RM6,575 yang dikutip sejak pelancaran tabung berkenaan pada 15 April lalu kepada Mohamad Amirul.

Menurut Muhammad Amirul dia perlu memberikan tumpuan sepenuhnya menjaga anaknya memandangkan bayi tersebut perlukan penjagaan rapi dan perlu segera dibawa ke hospital sekiranya demam selain keadaan isterinya yang masih tertekan.

Dia memberitahu, setiap kali anaknya demam dan dimasukkan ke wad dia terpaksa mengeluarkan kos lebih RM1,000 selain kos rawatan lain dan berulang alik ke hospital.

“Saya bukan tidak mahu bekerja, saya pernah bekerja di kedai ais batu di Shah Alam tetapi terpaksa berhenti apabila anak sering sakit dan terpaksa dibawa ke hospital, hendak biarkan isteri seorang pun tidak boleh malah saya hanya ada satu kenderaan,” katanya.rashid

Dalam pada itu, Muhammad Amirul berkata, Nur Kayla disahkan mengidap leukimia ketika berumur 10 bulan selepas anaknya itu sering demam dan muntah sebelum doktor meminta dihantar ke PPUM untuk menjalani ujian.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank 6808135612 Muhammad Amirul Syazwan bin Jafri atau menghubungi talian 011-2542 3032.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI