PETALING JAYA – Pelakon, Nabila Huda, 37, yang disahkan positif Covid-19, berasa teraniaya kerana terjangkit daripada individu yang degil dan cuai.
Katanya, sikap ambil mudah sesetengah pihak terhadap penularan wabak tanpa memikirkan keselamatan insan sekeliling mengakibatkan orang lain menjadi mangsa.
“Saya ini jenis duduk rumah kalau tiada keperluan di luar. Jadi, kalau tiada sebab hendak keluar, duduklah diam-diam di rumah. Disebabkan degil, orang lain yang tidak bersalah jadi mangsa.
“Kesakitan yang berpunca daripada kepentingan dan kecuaian orang lain. Ini sudah jadi konsep teraniaya. Benar apabila diuji kesakitan, kita kena reda dengan qada dan qadar.
“Tapi ini bukan konsep sebegitu, ini penyakit yang dicari atas kedegilan sendiri. Kerana nafsu dan keseronokan, habis semua yang tiada kena mengena terpalit sama,” katanya menerusi Instagram.
Terdahulu, anak penyanyi rock, Amy Search itu seakan memberi bayangan sedang menjalan kuarantin kendiri ketika mengucapkan hari jadi kepada anaknya, Keisha di laman sosial sama.
Dalam video yang dilampiri luahan panjang, kelmarin, Nabila sempat meminta maaf kerana tidak dapat meraikan ulang tahun ke-12 si kecil itu dan berhari raya bersama.
Malah katanya, mereka boleh merayakan kedua-dua hari istimewa berkenaan hanya di sebalik pintu sekali gus menunjukkan dia melakukan kuarantin kendiri di dalam bilik.
“Jangan berlagak jadi mangsa di atas situasi yang kamu wujudkan sendiri,” katanya.
Pada masa sama, Nabila turut mengingatkan individu berkaitan supaya jangan berlakon sebagai mangsa terhadap permasalahan yang dicipta sendiri.
Sementara itu, anaknya serta suaminya yang juga usahawan makanan, Mohd Izwan Johar, disahkan negatif daripada wabak berkenaan.
Sebelum ini Nora Danish dan Tiz Zaqyah lebih dulu disahkan dijangkiti Covid-19.-K! ONLINE