fbpx

BNM kekalkan unjuran pertumbuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur yang lengang ketika kerajaan mengetatkan kawalan pergerakan sebelum pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara hari ini. – FARIZ RUSADIO

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) optimis Malaysia mampu mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi pada lingkungan enam hingga 7.5 peratus tahun ini, meskipun kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara yang bermula hari ini.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, pelaksanaan PKP 3.0 dilihat lebih kurang sama dengan PKP 2.0, iaitu untuk mengekang aktiviti sosial dan mengurangkan penyebaran jangkitan Covid-19 manakala kebanyakan sektor ekonomi tetap terus dibuka.

Tambahnya, impak PKP 2.0 terbukti tidak seteruk PKP tahun lalu, berdasarkan prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada -0.5 peratus untuk suku tahun pertama 2021, lebih baik berbanding -3.4 peratus pada suku keempat 2020 meskipun dengan pelaksanaan PKP 2.0 pada Januari lalu.

“Unjuran yang dibuat telah mengambil kira ketidaktentuan disebabkan pandemik, terma­suk risiko peningkatan jangkitan. Nilai itu juga bersifat konservatif dengan jangkaan tiada pergerakan rentas negeri sehingga hujung tahun.

“Meskipun terdapat pelaksa­naan PKP 2.0, KDNK suku pertama 2021 adalah lebih baik berbanding jangkaan dan kami tidak menjangkakan pengumuman semalam (kelmarin) akan memberi impak seperti apa yang berlaku pada suku kedua tahun lepas.

“Pertumbuhan ekonomi negara akan turut disokong pemulihan global lebih baik, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa telah memperbaharui unjuran pertumbuhan global kepada enam peratus pada April, berbanding 5.5 peratus yang dibuat pada Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung pengumuman KDNK suku pertama 2021 yang dibuat secara maya semalam.

Mengulas mengenai kedudukan inflasi negara, Nor Shamsiah menjelaskan pihaknya menjangkakan kadar inflasi akan melonjak kepada paras antara 6.5 dan 7.0 peratus pada April dan Mei, sebelum kembali menyederhana kepada bawah lima peratus bermula Jun.

“Ini disebabkan peningkatan harga minyak global dan komoditi lain, selain kesan harga minyak yang rendah pada tahun lalu.

“Kami menjangkakan inflasi pada 2021 akan berada pada paras antara 2.5 dan 4.0 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkenalkan semula moratorium bayaran balik pinjaman bank automatik susulan pengumuman PKP3.0 dan menyi­fatkan peminjam kini memiliki saluran mencukupi bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman daripada bank dan pelbagai institusi lain jika perlu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI