fbpx

Arab Saudi kutuk serangan Israel terhadap Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Putera Faisal berkata kerajaan dengan tegas menolak rancangan dan langkah Israel untuk mengusir penduduk Palestin dari rumah mereka. -Arab News

RIYADH – Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan mengutuk tindakan Israel cuba mengusir penduduk Palestin daripada rumah mereka, lapor agensi berita Arab News semalam.

Putera Faisal  berkata, kekejaman Israel terutamanya semasa bulan Ramadan menunjukkan berlakunya pelanggaran hak antarabangsa.

Kenyataan itu dibuat semasa sesi mesyuarat tergempar Menteri-Menteri Luar Liga Arab bagi membincangkan tindakan Israel yang mengusir penduduk Palestin dari kawasan mereka.

Katanya, Arab Saudi mengutuk serbuan Israel ke atas masjid Al-Aqsa dan juga serangan terhadap rakyat Palestin.

Menurutnya, kerajaan dengan tegas menolak rancangan dan langkah Israel untuk mengusir penduduk Palestin dari rumah mereka.

“Kerajaan Arab Saudi berdiri bersama rakyat Palestin dan menyokong semua usaha untuk mendapatkan penyelesaian yang adil dan komprehensif serta membolehkan rakyatnya mewujudkan negara yang merdeka mengikut perjanjian sempadan  1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin mengikut Inisiatif Damai Arab,” kata beliau.

Arab Saudi menggesa komuniti antarabangsa bertindak bagi memastikan Israel menghentikan kekejamannya dan melindungi penduduk Palestin.

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Liga Arab meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk meneruskan siasatan jenayah perang terhadap Israel.

Ia juga meminta mahkamah sama menyiasat  tindakan Rejim Zionis mengusir  penduduk Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah, Tebing Barat.

Pertempuran antara pihak berkuasa Israel dan Palestin yang berlanjutan selama beberapa minggu menyebabkan Israel melancarkan pengeboman terhadap Hamas di Gaza kelmarin.

Pertempuran itu yang berlanjutan sehingga semalam telah mencetuskan kebimbangan dunia dan kecaman terhadap Israel. -Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI