LONDON – Seorang doktor haiwan terkejut apabila menemui seekor anak lembu yang mempunyai tiga mata serta lengkap dengan kelopak dan bulu mata, lapor akhbar Daily Star semalam.
Malan Hughes, yang ketika itu ingin menjalankan ujian bakteria lembu di sebuah ladang terkejut apabila terlihat seekor anak lembu yang mempunyai rupa fizikal yang luar biasa.
“Saya pernah melihat pelbagai perkara aneh termasuk haiwan yang dilahirkan dengan dua kepala, namun tidak pernah melihat sesuatu seumpama ini,” ujarnya.
Tambah Hughes, mata tambahan itu adalah lembap dan kelihatan baik, namun terdapat sejenis cecair seperti pelincir pada bahagian tersebut.
“Dari jauh, mata ketiganya kelihatan baik. Namun, kelopak dan bulu mata anak lembu itu agak lembap, seolah-olah terdapat cecair pelincir yang keluar,” katanya.
Anak lembu yang dianggarkan berumur empat bulan itu bagaimanapun bersikap normal, sama seperti anak-anak lembu yang lain, selain tidak dapat dipastikan sama ada ia boleh melihat daripada bahagian belakang matanya.
“Seperti amalan perubatan biasa, kami akan merawatnya sama seperti anak-anak lembu yang lain,” ujar Hughes. – AGENSI