PUTRAJAYA – Sebanyak 62 kes varian Afrika Selatan B.1.351 dan dua kes varian India B.1.617 masing-masing satu kes sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2 dikesan setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 14 kes dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351 melibatkan Kluster Kampung Domis (tujuh kes) serta Kluster Bangkahulu dan Kluster Bayan Cenderawasih dengan masing-masing satu kes.
Beliau berkata, empat lagi kes ialah saringan kontak rapat manakala satu lagi kes membabitkan jangkitan Covid-19 selepas divaksin.
Selain itu, katanya, satu kes import warga asing dijangkiti varian Indian B.1.617.2 dikesan di Malaysia iaitu kes tiba pada 7 April dan menjalani ujian Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa.
“Ujian saringan pada 7 dan 12 April adalah negatif, namun dilaporkan positif pada 21 April.
“Kes dibawa ke Unit Kecemasan dan Trauma setelah mengalami gejala yang serius manakala, keadaan kesihatannya terus merosot dan dilaporkan meninggal dunia pada 1 Mei,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, negara ‘dikejutkan’ dengan pelaporan angka kematian Covid-19 tertinggi sebanyak 39 kes hari ini sekali gus menjadikan jumlah kematian keseluruhan setakat ini sebanyak 1,761 kes.-K!ONLINE