fbpx

25,222 permohonan rentas negeri, 529 ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan mengadakan tinjauan pematuhan SOP di Pasar Awam Larkin, Johor Bahru, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Jumlah permohonan merentas negeri dan daerah yang diterima bagi seluruh Kontinjen Johor adalah sebanyak 25,222 bagi tempoh 5 Mei hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah keseluruhan ini, 24,693 permohonan telah diluluskan manakala 529 permohonan telah ditolak.

Katanya, jumlah permohonan merentas daerah dan negeri itu mencatatkan peningkatan mendadak berbanding tempoh seminggu yang lalu.

Tambahnya, pada minggu lalu antara 28 April hingga 4 Mei, jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 15,200 permohonan dan 202 daripadanya telah ditolak.

“Daripada kedua-dua tempoh ini, terdapat peningkatan permohonan rentas negeri daerah untuk negeri Johor mengikut perbandingan minggu terdahulu dengan minggu semasa iaitu bertambah sebanyak 10,022 permohonan.

“Selain itu, jumlah permohonan yang ditolak menunjukkan peningkatan lebih 100 peratus dan memang banyak yang kita tolak kerana tidak mempunyai alasan yang kukuh.

“Polis Johor akan memperketatkan lagi permohonan rentas negeri dan daerah mengikut syarat yang telah digariskan,” katanya pada sidang akhbar di Pasar Larkin di sini hari ini.

Terdahulu, Ayob Khan berkesempatan meninjau keadaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pasar awam tersebut.

Katanya, pihak polis akan lebih memperketatkan lagi penelitian terhadap permohonan rentas negeri dan daerah supaya tidak ada individu atau pihak yang boleh mengambil kesempatan untuk menyalahgunakan permohonan ini.

“Walaupun ada permohonan rentas negeri atau daerah yang sah dan telah diluluskan oleh pihak polis, tetapi ingatlah bahawa perjalanan anda ke destinasi yang dipohon tersebut sememangnya berisiko bagi penularan dan jangkitan wabak Covid-19 ini terutamanya kepada warga emas dan anak-anak kecil,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pihaknya akan menambah jumlah sekatan jalan raya (SJR) kepada 50 tempat berbanding 35 sebelum ini.

Katanya, ia melibatkan 12 SJR di kawasan lebuh raya, 13 SJR di sempadan negeri, 17 SJR di Jalan Persekutuan dan lapan Op Benteng.

“Selain itu, kita juga mempunyai sebanyak 260 pasukan pemantauan dan 170 unit Kereta Peronda Polis (MPV) yang akan sentiasa membuat operasi pematuhan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI