fbpx

1,399 penuntut UUM beraya di kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kalangan penuntut UUM yang tidak pulang ke kampung mengambil kesempatan menghias pejabat Inasis mereka bagi menghidupkan suasana sambutan Aidilfitri.

SINTOK – Seramai 1,399 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) memilih tidak pulang ke kampung sebaliknya menyambut Aidilfitri bersama rakan-rakan di kampus universiti itu di sini tahun ini.

Walaupun mengakui agak sedih kerana tidak dapat bersama keluarga di pagi raya, namun mereka menganggap perkara tersebut sebagai pengalaman baharu dalam hidup masing-masing.

Seorang pelajar, Zulfaqar Hizami Yazid, 22, berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung di Butterworth, Pulau Pinang bagi memastikan kesihatan ahli keluarga terutama seorang adiknya yang mempunyai penyakit asma tidak terganggu.

“Sejujurnya saya rasa risau hendak merentas negeri kerana salah seorang adik saya mempunyai masalah kesihatan. Risau juga sekiranya kepulangan saya nanti menjejaskan kesihatan adik saya itu.

“Lagi pun cuti sempena Aidilfitri tidak lama dan kami akan meneruskan pengajian secara dalam talian selepas ini. Dalam keadaan talian internet di kampung saya tidak terlalu baik, eloklah saya terus kekal di kampus saja,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Muhammad Bazli Bahruddin, 26, berkata, ia merupakan kali kedua dia tidak beraya bersama keluarga di kampungnya di Bangi, Selangor bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai timbalan presiden di kolej kediamannya.

“Keputusan itu diambil memandangkan saya mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, antaranya menjaga kebajikan pelajar yang tidak pulang ke kampung.

“Bagi mengubati kerinduan, keluarga saya hantarkan kuih raya kira-kira enam balang. Sekurang-kurangnya, dapatlah juga saya kongsikan bersama rakan-rakan di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Inapan Siswa (Inasis) Proton dan Tradewinds UUM, Dr. Rohafiz Sabar berkata, kira-kira 320 pelajar di Inasis tidak pulang ke kampung termasuk pelajar asing.

“Di pagi raya kami akan edarkan makanan kepada pelajar-pelajar antaranya nasi beriani, ketupat dan lemang yang disediakan katerer.

“Sekurang-kurangnya dapat menghidupkan suasana perayaan di dalam kampus walaupun mereka berjauhan daripada keluarga,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI