NEW DELHI – Sebilangan pesakit Covid-19 yang dibenarkan pulang kembali semula ke hospital bersama simptom lain termasuk kesakitan pada hidung, kabur penglihatan, hidung berdarah dan hidung menjadi gelap.
Kesemua mereka menghidap jangkitan kulat dikenali sebagai mucormycosis. Doktor-doktor berkata, kulat itu menjangkiti pesakit yang sistem imunisasi mereka rendah akibat jangkitan Covid-19 dan ubat steroid yang digunakan bagi merawat koronavirus.
Kes tersebut yang dikenali sebagai ‘kulat hitam’ jarang berlaku, ia kini semakin kerap menjangkiti pesakit Covid -19 di India dan mendorong kerajaan mengeluarkan amaran mengenainya.
“Kadar kematian akibat mucormycosis adalah 50 peratus sedangkan kadar kematian disebabkan Covid-19 hanya 2.5 peratus.
“Kita perlu menggunakan ubat steroid dengan sangat berhati-hati” kata Amarinder Singh Malhi dari Institut Sains Perubatan India di New Delhi.
Steroid digunakan untuk mengelak kerdangan pada pesakit Covid-19.
Malhi berkata, hospitalnya belum melihat lonjakan kes mucormycosis. Bagaimanapun, seminggu lalu seorang wartawan menghubungkannya melalui Whatsapp dengan seorang wanita yang beransur hilang penglihatan pada sebelah matanya dan mata satu lagi menjadi buta.
” Saya merujuk kes tersebut ke wad kecemasan” katanya yang mengesyaki wanita itu menghidap mucormycosis.
Melainkan diberikan rawatan awal, jangkitan kulat agresif itu kerap kali hanya boleh dihentikan melalui kaedah pembedahan.
Seorang pakar bedah di Mumbai berkata, dia menyaksikan 40 kes mucormycosis pada bulan lalu sahaja dan 11 kes memerlukan pembedahan.
“Saya terpaksa membuang sebelah mata pesakit wanita itu untuk menyelamatkan nyawanya” kata pakar bedah tersebut, Akshay Nair kepada Perbadanan Penyiaran Britain sejurus sebelum melakukan pembedahan ke atas seorang wanita berumur 25 tahun yang sembuh daripada Covid-19 tiga minggu lalu tetapi dijangkiti mucormycosis.pula. – Agensi