ALOR SETAR – Yayasan Salleh Saidin (YSS) menyumbangkan sebanyak 10,000 ekor ayam kepada 5,000 penerima daripada golongan asnaf dan fakir miskin dalam Parlimen Kuala Kedah.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, sumbangan itu dilakukan di 50 masjid di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pengkalan Kundor, Anak Bukit dan Kubang Rotan bermula Sabtu lalu hingga semalam.
“Setiap penerima yang mewakili keluarga masing-masing akan menerima dua ekor ayam sebagai persiapan untuk menyambut hari raya nanti,” katanya.
Beliau ditemui selepas mengagihkan sumbangan ayam tersebut di pekarangan Masjid Nurul Ehsan di Kubang Rotan di sini semalam.
Katanya, penerima terdiri daripada golongan asnaf di bawah Lembaga Zakat Negeri Kedah serta fakir miskin yang disenaraikan oleh pihak masjid.
Selain itu, menurut Mohd. Salleh, YSS juga akan menumbangkan seekor lembu dan agihan daging kepada golongan asnaf yang sakit terlantar akan diagihkan dari rumah ke rumah pada hari ini.
“Sumbangan lain yang diberikan kepada golongan memerlukan itu ialah beras pulut berjumlah 250 kilogram (kg),” ujarnya.
Tambahnya, walaupun nilai sumbangan diberikan tidak seberapa, namun YSS berharap sumbangan itu dapat menggembirakan golongan tersebut terutama pada sambutan Aidilfitri kali ini.
“Sumbangan ayam, daging lembu dan beras pulut ini adalah sumbangan bagi membantu menyediakan keperluan penduduk menyambut lebaran,” katanya. -K! ONLINE.